Saturday, July 26, 2008

Perjuangan belum selesai

Kini, Baitul Maqdis kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam? Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum muslimin dari timur sampai ke barat. Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita bersama. Marilah kita bersama-sama berjuang menuntut hak kita yang telah ternoda ini.
Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis - ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan wafat di sana. Ia juga medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah. Rasulullah bersabda, “diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan).Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat bertukar ke arah Kaabah di Mekah. Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj. Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1)Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin. Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi umat Islam akan datang.Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya.

No comments: